ads

9 February 2023

Apa Khabar?

 Apa khabar blog ini? Sudah lama saya sendiri tidak berkunjung, apa lagi menulis di sini. 

Sudah bersarakah saya?

Jawapannya - TIDAK

Kekangan masa menyebabkan saya jarang-jarang menulis di blog sendiri walaupun sekali sekala menerima emel dari pembaca yang ingin tahu lebih lanjut tentang kerja-kerja transkrip.

Ke mana saya menghilang?

Ketika negara dilanda musibah global Covid-19, kerajaan telah mengenakan PKP yang mengawal pergerakan setiap rakyatnya. Duduk sahaja di rumah sedikit sebanyak menyumbang kepada emosi saya yang tidak menentu. Apatah lagi, rumah saya berdekatan dengan jalan utama dan lebuhraya yang selalu digunakan oleh ambulans untuk ke HKL dan IJN. Bunyi siren tidak mengira masa mengganggu tumpuan saya menyiapkan tugasan hakiki. Mood menulis juga terbang entah ke  mana.

Beberapa hari sebelum PKP 2.0 diumumkan, saya sudah berada di wad kecemasan HKL sebagai pesakit Covid-19. 11 hari di wad Covid-19 tidak cukup untuk saya mengembalikan tenaga seperti sediakala. Kesan varian Delta menjejaskan fizikal dan keupayaan berfikir. 

Dalam fasa pemulihan yang saya kira mengambil masa setahun, saya mengembalikan semangat dengan berkongsi luahan rasa melalui penulisan e-book tentang pengalaman dijangkiti virus Covid-19. Alhamdulillah, e-book saya dibeli dan dibaca oleh rakan dan ada juga mereka yang tidak saya kenali langsung.

Dengan pengalaman menulis 4 e-book sebelum ini, saya bercadang untuk menulis e-book tentang panduan menulis transkrip. 

Jika di blog ini saya menulis mengikut apa yang terlintas dan baru dialami, penulisan e-book akan disusunatur dengan sebaik mungkin. 

Buat masa ini, e-book Transkrip masih dalam proses mengumpulkan data dan maklumat yang boleh diguna kepada transcriber/transcriptionist dan penyelidik kualitatif. 

No comments: