ads

9 February 2023

Apa Khabar?

 Apa khabar blog ini? Sudah lama saya sendiri tidak berkunjung, apa lagi menulis di sini. 

Sudah bersarakah saya?

Jawapannya - TIDAK

Kekangan masa menyebabkan saya jarang-jarang menulis di blog sendiri walaupun sekali sekala menerima emel dari pembaca yang ingin tahu lebih lanjut tentang kerja-kerja transkrip.

Ke mana saya menghilang?

Ketika negara dilanda musibah global Covid-19, kerajaan telah mengenakan PKP yang mengawal pergerakan setiap rakyatnya. Duduk sahaja di rumah sedikit sebanyak menyumbang kepada emosi saya yang tidak menentu. Apatah lagi, rumah saya berdekatan dengan jalan utama dan lebuhraya yang selalu digunakan oleh ambulans untuk ke HKL dan IJN. Bunyi siren tidak mengira masa mengganggu tumpuan saya menyiapkan tugasan hakiki. Mood menulis juga terbang entah ke  mana.

Beberapa hari sebelum PKP 2.0 diumumkan, saya sudah berada di wad kecemasan HKL sebagai pesakit Covid-19. 11 hari di wad Covid-19 tidak cukup untuk saya mengembalikan tenaga seperti sediakala. Kesan varian Delta menjejaskan fizikal dan keupayaan berfikir. 

Dalam fasa pemulihan yang saya kira mengambil masa setahun, saya mengembalikan semangat dengan berkongsi luahan rasa melalui penulisan e-book tentang pengalaman dijangkiti virus Covid-19. Alhamdulillah, e-book saya dibeli dan dibaca oleh rakan dan ada juga mereka yang tidak saya kenali langsung.

Dengan pengalaman menulis 4 e-book sebelum ini, saya bercadang untuk menulis e-book tentang panduan menulis transkrip. 

Jika di blog ini saya menulis mengikut apa yang terlintas dan baru dialami, penulisan e-book akan disusunatur dengan sebaik mungkin. 

Buat masa ini, e-book Transkrip masih dalam proses mengumpulkan data dan maklumat yang boleh diguna kepada transcriber/transcriptionist dan penyelidik kualitatif. 

9 March 2020

Caj Transkrip

Beberapa minggu lepas, saya menerima emel dari pembaca yang bertanyakan kadar caj yang sesuai dikenakan. Beliau baru ingin mencuba mengambil tugasan transkrip. Saya tidak berkesempatan membalas emel beliau. Saya juga tidak dapat mencari semula emel beliau. Harap platform saya di sini beliau rujuk. 
Sememangnya saya sudah biasa menerima emel bertanyakan kadar caj yang sesuai dikenakan. Jawapan saya, standard: Teliti dahulu keperluan transkripsi dari klien/bakal klien anda. Adakah transkrip yang diminta

1. Verbatim/clean transkrip (In sha Allah, saya akan tulis satu tajuk tentang ini)
2. Time around time (masa yang diperuntukkan untuk kita membuat transkrip - singkat tempoh siap, tinggi lah caj nya)
3. Format yang disediakan (bagi saya, jika klien menyediakan saya format yang melambatkan proses menaip, saya akan caj lebih tinggi. Tetapi jika format bergantung kepada keselesaan saya, saya caj pada harga yang berpatutan, malahan adakalanya, saya yang menawarkan diskaun!)
4. Tempoh rakaman (lagi panjang diskusi/temuramah, sudah tentu tinggi cajnya)
5. Kualiti rakaman (kalau rakaman di tempat yang hingar seperti kedai Mamak, sakit telinga mendengarnya, adakalanya, terpaksa diulang berkali-kali. atau mungkin juga di rumah tetapi ada latar belakang suara kanak-kanak menangis, atau anjing responden menyalak dsb)
6. Topik diskusi/temuramah. Kebiasaannya, ini soalan yang rutin di kalangan transcriptionist. Kenapa? Sebab jika topik berkisar dengan terma yang selalu digunakan, kami boleh mentranskrip dengan lebih pantas. 
7. Terakhir, siapa klien anda? Kalau klien anda di kalangan pelajar, berbincang lah mengikut kemampuan mereka, adakah kajian mereka ditaja (geran) atau tidak. Bagi saya, transkripsi yang saya hasilkan bukan sekadar bernilai RM, tetapi bernilai sumbangan dalam kajian penyelidikan yang bermanfaat di masa akan datang.

Saya harap, senarai semak di atas dapat membantu. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, tahun-tahun awal saya mengambil tugasan ini, pihak klien yang menetapkan cajnya. Saya terima sahaja kerana tahu diri masih baru, skil belum kukuh. Pernah juga transkrip saya dipulangkan kerana tidak lengkap, waktu itu, record menggunakan cassette tape, perbualan tidak jelas. Setelah bertahun membuat transkrip, nama saya dalam industri tersebar, sehingga saya sendiri tak tahu dari mana mereka mendapatkan emel dan no. telefon saya (terima kasih kepada yang mencadangkan nama saya). Sehingga, ada yang bertanya berapa kadar caj saya. Maka, senarai semak itu lah yang mula saya gunakan.

Nasihat saya kepada orang baru, tak perlu demand. Buat dahulu. Hasil kerja yang berkualiti akan memberi peluang untuk hasil pulangan yang berkualiti juga. In sha Allah. 

Selamat Berjaya!

1 August 2019

Enjin carian

Search engine atau enjin carian sangat penting dalam menghasilkan transkrip berkualiti. Kadang-kadang, terma yang digunakan tidak kita fahami. Jadi, mencari ejaan yang tepat dan tepat pada maksud yang dituturkan memerlukan transcriber meluangkan masa menggunakan enjin carian seperti Google Search, Yahoo Search, dan lain-lain lagi.

Adakah ini satu skil? Ya. Semua orang boleh guna Google Search tapi seni mencari dan tekniknya perlu ada. Jika tidak, apa yang dicari tak ditemui.

Jadi, saya rasa tidak adil jika kemahiran transkrip disebut sekadar dengar dan salin. 

Kalau dah buat, baru lah tahu senang susahnya...