ads

Showing posts with label Caj. Show all posts
Showing posts with label Caj. Show all posts

9 March 2020

Caj Transkrip

Beberapa minggu lepas, saya menerima emel dari pembaca yang bertanyakan kadar caj yang sesuai dikenakan. Beliau baru ingin mencuba mengambil tugasan transkrip. Saya tidak berkesempatan membalas emel beliau. Saya juga tidak dapat mencari semula emel beliau. Harap platform saya di sini beliau rujuk. 
Sememangnya saya sudah biasa menerima emel bertanyakan kadar caj yang sesuai dikenakan. Jawapan saya, standard: Teliti dahulu keperluan transkripsi dari klien/bakal klien anda. Adakah transkrip yang diminta

1. Verbatim/clean transkrip (In sha Allah, saya akan tulis satu tajuk tentang ini)
2. Time around time (masa yang diperuntukkan untuk kita membuat transkrip - singkat tempoh siap, tinggi lah caj nya)
3. Format yang disediakan (bagi saya, jika klien menyediakan saya format yang melambatkan proses menaip, saya akan caj lebih tinggi. Tetapi jika format bergantung kepada keselesaan saya, saya caj pada harga yang berpatutan, malahan adakalanya, saya yang menawarkan diskaun!)
4. Tempoh rakaman (lagi panjang diskusi/temuramah, sudah tentu tinggi cajnya)
5. Kualiti rakaman (kalau rakaman di tempat yang hingar seperti kedai Mamak, sakit telinga mendengarnya, adakalanya, terpaksa diulang berkali-kali. atau mungkin juga di rumah tetapi ada latar belakang suara kanak-kanak menangis, atau anjing responden menyalak dsb)
6. Topik diskusi/temuramah. Kebiasaannya, ini soalan yang rutin di kalangan transcriptionist. Kenapa? Sebab jika topik berkisar dengan terma yang selalu digunakan, kami boleh mentranskrip dengan lebih pantas. 
7. Terakhir, siapa klien anda? Kalau klien anda di kalangan pelajar, berbincang lah mengikut kemampuan mereka, adakah kajian mereka ditaja (geran) atau tidak. Bagi saya, transkripsi yang saya hasilkan bukan sekadar bernilai RM, tetapi bernilai sumbangan dalam kajian penyelidikan yang bermanfaat di masa akan datang.

Saya harap, senarai semak di atas dapat membantu. 

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, tahun-tahun awal saya mengambil tugasan ini, pihak klien yang menetapkan cajnya. Saya terima sahaja kerana tahu diri masih baru, skil belum kukuh. Pernah juga transkrip saya dipulangkan kerana tidak lengkap, waktu itu, record menggunakan cassette tape, perbualan tidak jelas. Setelah bertahun membuat transkrip, nama saya dalam industri tersebar, sehingga saya sendiri tak tahu dari mana mereka mendapatkan emel dan no. telefon saya (terima kasih kepada yang mencadangkan nama saya). Sehingga, ada yang bertanya berapa kadar caj saya. Maka, senarai semak itu lah yang mula saya gunakan.

Nasihat saya kepada orang baru, tak perlu demand. Buat dahulu. Hasil kerja yang berkualiti akan memberi peluang untuk hasil pulangan yang berkualiti juga. In sha Allah. 

Selamat Berjaya!

6 June 2017

Berbahasa lenggok Seberang

Sudah lama tidak menulis di sini. Sudah lama juga tidak menerima tugasan transkripsi. Kerap menolak. Kali ini, saya menerima satu tugasan yang dimaklumkan berdurasi 2 jam. Walau bagaimanapun, hanya 95 minit. Alhamdulillah. Tidak menuntut masa yang panjang untuk melunaskannya.

Anna tidak dimaklumkan oleh klien yang transkripsi dalam bahasa Inggeris dari negara jiran. 

Mula-mula mendengar audio, Anna tertanya-tanya, "kenapa satu suara sahaja?" dan seolah-olah bercakap dengan si bisu atau pekak. Kemudian baru Anna teringat, mungkin ini suara penterjemah/interpreter. Anna bertanya kepada pihak klien untuk kepastian. Ya, suara si penterjemah/interpreter. 

Anna perlu teliti untuk membezakan yang mana satu pandangan responden dan yang mana satu pertanyaan atau penyataan dari pihak moderator. Anna dengar betul-betul rentak intonasi suara Saudara interpreter. Adakalanya penterjemah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Disambung pula dengan ucapan lain. Perlu bijak untuk menulis dengan penggunaan tanda koma, titik bertindih, atau noktah.

Disebabkan terlalu pantas untuk menginterpretasi, sebutannya ada yang lari. Berikut antara perkataan yang Anna kongsikan. (Interpreter ialah seorang yang berbahasa Indonesia). 

Perkataan di sebelah kiri ialah perkataan yang ingin diungkapkan dan yang di sebelah kanan ialah perkataan yang diucapkan oleh interpreter.

Paper - Pepper/papier

Milk - Male

Milk - Mole

Label - Labour

Seal - Sea

Hole - Hold

Hole - Hall

Cashier - Casheer


Peranan interpreter adalah untuk memberi sebutan yang terbaik agar ayat jadi bermakna dan input penting tidak disalah rekod dan menimbulkan salaherti. Ini boleh membawa kepada kesilapan dalam proses menganalisa maklumat dan pembuatan keputusan pihak klien. 

Nampak kecil, impaknya besar. 

Kesimpulannya: Sumbangan belakang tabir tidak harus dipandang remeh oleh semua pihak. Penghargaan dengan bayaran yang berpatutan perlu menjadi keutamaan dalam menjamin kualiti penyelidikan itu sendiri. 


26 October 2016

Caj dan servis; kata dua

"Do you want me to do or not? Let me know before I proceed"

Tegas. 

Masih dengan staf yang saya berurusan sebelum ini.

Kenapa saya bertanya begitu? Kerana staf tersebut bertanya caj yang saya kenakan. Saya maklumkan caj yang biasa (per minit) saya kenakan kepada syarikat tersebut.

Dalam balasan emel nya, " Your charge is too high from our cost which 1 hour translation: RM120 and 1 hour transcript: RM100"

Perlukah saya akur kepada caj ini? Saya balas, "All this while, this is my charge to your company"

Hak saya untuk meletakkan jumlah yang saya fikir masuk dek akal.

Caj yang disebut oleh beliau ialah caj yang saya dinasihatkan diletakkan di dalam invois ketika syarikat tersebut baru beroperasi di Malaysia pada 2012. Empat tahun sudah berlalu. Saya pasti, pihak syarikat sendiri mengenakan caj yang lebih tinggi kepada klien mereka. Adakah wajar meminta caj dari kontraktor anda dengan harga yang statik di saat anda masih merangkak di Asia Tenggara dengan staf kurang dari 20 orang?

Saya tidak menurunkan caj saya. Kerja saya ada nilai. Saya juga memikirkan nasib transcriber lain yang terpaksa akur dengan caj lama yang tidak berpatutan sedangkan dateline tugasan dalam industri penyelidikan pemasaran sangat pendek. 

Saya berharap kepada yang tercari-cari caj yang hendak dikenakan kepada bakal pelanggan anda, mendapat sedikit idea dalam entri ini.

19 September 2015

Tugasan yang jadi tak jadi?

Blog ini jarang terima pelawat. Pelawat yang datang bertandang, Anna tahu, mereka pada asalnya menggunakan enjin carian. Akhirnya bertemu dengan blog Anna dan majoriti sememangnya mencari penulis transkrip seperti Anna.

Emel yang diterima dan panggilan telefon ada juga Anna terima bertanyakan caj servis. Setelah dimaklumkan, tiada lagi khabar berita daripada mereka.

Maaf. Anna tidak mampu untuk mengenakan caj yang terlalu murah. Bagi Anna, apa yang Anna caj sudah cukup di bawah sederhana.

Mata bersengkang, malam sehingga awal pagi bekerja, duduk dalam jangkamasa lama sehingga adakalanya sakit belakang, telinga terngiang-ngiang walau sudah tidak mendengar audio rakaman, tangan menaip setiap huruf dan memastikan tiada ejaan tertinggal atau tersalah taip. Keesokan harinya, ke pejabat atau ke kelas seperti orang yang suku khayal (suku sahaja, tidak sampai separuh). 

Inilah harga yang anda bayar untuk servis Anna. 

Bagi penuntut PhD, Anna sarankan buatlah transkripsi sendiri kerana dengan membuat transkripsi sendiri, bukan sahaja kos anda tidak bertambah, sambil mentranskripsi, anda juga menganalisa temubual untuk tujuan penyelidikan anda sendiri. Masa anda juga dapat dijimatkan!