ads

Showing posts with label market research. Show all posts
Showing posts with label market research. Show all posts

10 April 2018

Transkrip yang baik

Baru sahaja menerima emel daripada klien yang bertanyakan saya jika boleh membuat transkripsi Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Terus sahaja saya jawab, "Sorry, I can't do it". Saya cuma klik di pilihan jawapan yang disediakan oleh Google mail di bahagian bawah kotak reply.

Semudah itu saya menolak? Ya. Boleh sahaja saya mohon pertolongan sesiapa untuk mengalihbahasa tetapi saya tidak mahu mengambil apa-apa risiko. Biarlah rezeki itu diberi kepada orang lain. 

Jangan tamak. Itu yang selalu saya ingatkan kepada diri sendiri. Rezeki Allah pasti ada.

Sebelum ini, saya membantu memberi tunjuk ajar kepada seorang sahabat lama yang berprofesion peguam. Bagi saya, apa pun kerjaya anda, tidak lekeh membuat kerja-kerja transkrip, malahan pengalaman kerjaya anda sangat-sangat membantu untuk kerja-kerja anda di masa akan datang. Terlalu bergantung kepada staf, adakalanya mereka terlepas pandang/dengar mana-mana perkara yang signifikan.

Bagi saya, sahabat saya ini berkebolehan menghasilkan transkrip yang baik. Walau bagaimanapun, audio perbincangan dalam bidang beliau iaitu undang-undang adalah yang terbaik. Beliau telah menguasai terma perundangan, gaya, lenggok pengamal undang-undang. Dengan itu, mudah untuk dia membayangkan keadaan/mood semasa sesuatu perbincangan/perbualan/prosedur berjalan. 

Kepentingan membayangkan situasi memudahkan penggunaan tanda ayat seperti koma, noktah, dan seruan. Ini memberikan suasana 'hidup' kepada transkrip yang dihasilkan.

18 October 2017

Job Transkripsi

Baru-baru ini, saya menerima emel pertanyaan tentang tugasan transkripsi. Dalam tempoh yang sama juga, seorang kenalan baru turut berminat dan ingin tahu tentang kerja-kerja transkripsi. Dia juga bertanya soalan yang sama - bagaimana mendapatkan tugasan.

Bagi menjawab soalan kenalan baru itu, mudah sahaja. Dia sedang bekerja di dalam industri penyelidikan pemasaran. Saya katakan kepadanya, minta peluang dari majikannya untuk membuat tugasan transkripsi. 

Maklumbalas yang diterima, syarikat tempat dia bekerja hanya mengambil projek Kuantitatif, tidak mengambil projek penyelidikan Kualitatif. Projek penyelidikan kualitatif memerlukan khidmat transkripsi. Sebelum saya memberikan tips untuk mendapatkan tuagsan/job, anda perlu tahu perbezaan penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif itu sendiri.

Apa beza Kuantitatif dan Kualitatif? 

Kuantitatif ialah penyelidikan berasaskan nombor dan pengiraan. Contoh penyelidikan kuantitatif ialah soalan survey yang meminta responden menjawab dalam bentuk rating scale - 1 - 5 di mana 1 untuk tidak setuju sehingga 5 untuk sangat setuju. Hasil jawapan responden di kumpul, dikira dan dianalisis. Sebagai contoh, ramai responden memilih skala 3 untuk soalan satu. Penyelidik akan menganalisa kenapa ramai memilih rating 3 untuk soalan satu itu.

Kualitatif pula, tiada nombor dan pengiraan. Semuanya berasaskan tulisan dan perkataan serta pemerhatian (termasuk emosi dan bahasa badan). Bagi tujuan penyelidikan kualitatif, responden dijemput untuk berbual dan berbincang isu yang menjadi topik penyelidikan. Seorang penyelidik mungkin berbual dengan seorang responden - ini dipanggil in-depth interview. Seorang penyelidik mungkin berbual dengan 6 atau 7 orang responden - ini dipanggil Focus Group Discussion. Setiap perbualan dirakamkan. Rakaman audio perbualan itu diserahkan kepada Transcriber untuk ditranskripsi iaitu menukarkannya kepada bentuk tulisan dalam format skrip. Hasil transkripsi diserahkan kembali kepada penyelidik untuk tujuan analisa.

Setelah faham perbezaan ini, saya percaya, kenalan baru saya ini dapat mencari syarikat penyelidikan pemasaran yang sesuai untuk mendapatkan tugasan transkripsi.

Bagi individu yang bertanya kepada saya tempoh hari, anda boleh cuba mendapatkan tugasan dengan bertanya pensyarah anda sekiranya ada mana-mana pensyarah atau penuntut PhD yang memerlukan khidmat anda untuk mentranskripsi. Setelah anda yakin yang anda mampu menyiapkan tugasan transkripsi dengan cepat, anda boleh mula mencari syarikat penyelidikan pemasaran. Perkenalkan diri anda dan tawarkan servis anda! 

Beranikan diri! Jangan biarkan keraguan membantutkan usaha anda! Selamat berjaya!

6 June 2017

Berbahasa lenggok Seberang

Sudah lama tidak menulis di sini. Sudah lama juga tidak menerima tugasan transkripsi. Kerap menolak. Kali ini, saya menerima satu tugasan yang dimaklumkan berdurasi 2 jam. Walau bagaimanapun, hanya 95 minit. Alhamdulillah. Tidak menuntut masa yang panjang untuk melunaskannya.

Anna tidak dimaklumkan oleh klien yang transkripsi dalam bahasa Inggeris dari negara jiran. 

Mula-mula mendengar audio, Anna tertanya-tanya, "kenapa satu suara sahaja?" dan seolah-olah bercakap dengan si bisu atau pekak. Kemudian baru Anna teringat, mungkin ini suara penterjemah/interpreter. Anna bertanya kepada pihak klien untuk kepastian. Ya, suara si penterjemah/interpreter. 

Anna perlu teliti untuk membezakan yang mana satu pandangan responden dan yang mana satu pertanyaan atau penyataan dari pihak moderator. Anna dengar betul-betul rentak intonasi suara Saudara interpreter. Adakalanya penterjemah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Disambung pula dengan ucapan lain. Perlu bijak untuk menulis dengan penggunaan tanda koma, titik bertindih, atau noktah.

Disebabkan terlalu pantas untuk menginterpretasi, sebutannya ada yang lari. Berikut antara perkataan yang Anna kongsikan. (Interpreter ialah seorang yang berbahasa Indonesia). 

Perkataan di sebelah kiri ialah perkataan yang ingin diungkapkan dan yang di sebelah kanan ialah perkataan yang diucapkan oleh interpreter.

Paper - Pepper/papier

Milk - Male

Milk - Mole

Label - Labour

Seal - Sea

Hole - Hold

Hole - Hall

Cashier - Casheer


Peranan interpreter adalah untuk memberi sebutan yang terbaik agar ayat jadi bermakna dan input penting tidak disalah rekod dan menimbulkan salaherti. Ini boleh membawa kepada kesilapan dalam proses menganalisa maklumat dan pembuatan keputusan pihak klien. 

Nampak kecil, impaknya besar. 

Kesimpulannya: Sumbangan belakang tabir tidak harus dipandang remeh oleh semua pihak. Penghargaan dengan bayaran yang berpatutan perlu menjadi keutamaan dalam menjamin kualiti penyelidikan itu sendiri. 


22 November 2016

Tunggu dulu...

Tidak menerima sebarang projek transkripsi lantaran sibuk dengan urusan lain yang mesti diutamakan. 

Suka atau tak suka, terpaksa menolak.. baru tadi menerima emel untuk audio English ke English di Indonesia. Sudah pasti menuntut tumpuan yang tinggi. Mendengar lenggok lidah bangsa Indonesia berbahasa Inggeris. Sudah pasti mencabar. Walaupun saya suka cabaran itu, masa tidak mengizinkan saya untuk menerima tawaran tugasan ini.

Sabar lah hati...

uhmm tunggu dulu...tahun depan mungkin agak senggang.

26 October 2016

Caj dan servis; kata dua

"Do you want me to do or not? Let me know before I proceed"

Tegas. 

Masih dengan staf yang saya berurusan sebelum ini.

Kenapa saya bertanya begitu? Kerana staf tersebut bertanya caj yang saya kenakan. Saya maklumkan caj yang biasa (per minit) saya kenakan kepada syarikat tersebut.

Dalam balasan emel nya, " Your charge is too high from our cost which 1 hour translation: RM120 and 1 hour transcript: RM100"

Perlukah saya akur kepada caj ini? Saya balas, "All this while, this is my charge to your company"

Hak saya untuk meletakkan jumlah yang saya fikir masuk dek akal.

Caj yang disebut oleh beliau ialah caj yang saya dinasihatkan diletakkan di dalam invois ketika syarikat tersebut baru beroperasi di Malaysia pada 2012. Empat tahun sudah berlalu. Saya pasti, pihak syarikat sendiri mengenakan caj yang lebih tinggi kepada klien mereka. Adakah wajar meminta caj dari kontraktor anda dengan harga yang statik di saat anda masih merangkak di Asia Tenggara dengan staf kurang dari 20 orang?

Saya tidak menurunkan caj saya. Kerja saya ada nilai. Saya juga memikirkan nasib transcriber lain yang terpaksa akur dengan caj lama yang tidak berpatutan sedangkan dateline tugasan dalam industri penyelidikan pemasaran sangat pendek. 

Saya berharap kepada yang tercari-cari caj yang hendak dikenakan kepada bakal pelanggan anda, mendapat sedikit idea dalam entri ini.

25 October 2016

JUJUR itu yang terbaik

Baru-baru ini berpeluang membantu seorang staf dari syarikat yang sama. Walaupun syarikat yang sama, jenis projek agak berbeza dari Senior Manager yang saya biasa berurusan.

Sebelum ini, sudah beberapa kali staf ini approach saya untuk bantuan transkripsi tetapi masa sering tidak sesuai dan beliau juga sering approach saya apabila situasi terdesak (e.g. transcriber yang dipersetujui pada awalnya - tidak dapat mengotakan janji, transkripsi tidak sempurna dan perlu diperbaiki)

Awal Muharram yang lalu, saya dapat membantu beliau untuk audio perbincangan bagi responden-responden di tanah Singa. Perbincangan lebih kepada food and lifestyle. Moderator pula, berdasarkan sebutan lidahnya; saya agak berbangsa Filipina.

Satu cabaran yang perlu dilunaskan... mendengar lifetyle rakyat seberang Tambak yang sebelum ini saya tidak pusing untuk ambil tahu sambil mendengar pilihan perkataan dan telor lidah  rakyat dua negara. Ditambah pula dengan staf yang tidak biasa berinteraksi - kebiasaannya, guideline diberi untuk membantu proses perbincangan dan transkripsi. Saya pula terpaksa meminta dengan staf ini. 

Tidak yakin, boleh menyiapkan dalam tempoh yang diberikan, i.e. lebih 2 jam audio perbincangan dalam tempoh 3 hari, saya memaklumkan kepada staf tersebut. 

Amat-amat penting untuk memaklumkan situasi kita sekiranya kita menjangkakan berlaku kelewatan menepati tarikh akhir yang diberikan. Bukan tujuan untuk menunjukkan kelemahan kita. Bersikap jujur itu yang terbaik.

Alhamdulillah. Ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang diberi. 

Mungkin berasa senang dengan saya, projek seterusnya juga ditawarkan kepada saya. Alhamdulillah, rezki itu ketentuan Allah.

22 January 2016

Tugasan lagi...

Sudah agak lama menolak tugasan dari klien, lantaran tugas-tugas di pejabat (Jabatan Latihan dan Pentadbiran) yang banyak, ditambah dengan tugasan di kelas.

Klien yang sudah biasa masih mencari dan menghubungi sekiranya Anna dapat memberikan khidmat transkripsi kepada mereka.

Kali ini, 6 audio dijanjikan diberikan kepada Anna. Semua audio temubual untuk projek ini diserahkan kepada Anna. Itu cara Pengurus Penyelidikan ini bekerja. 

Faham dengan cara beliau, tarikh akhir ialah 2 hari dari tempoh menerima audio. Audio baru dihantar setelah transkripsi audio sebelumnya selesai dan dihantar. Alhamdulillah. 2 telah siap. Malam ini atau pagi esok, 1 lagi audio akan diterima.

Disebabkan ada hal lain yang perlu diberi tumpuan, audio kedua Anna serahkan kepada seorang kenalan transcriber yang pernah Anna baca hasil kerjanya. Beliaulah satu-satunya transcriber profesional yang Anna senang bekerja dengannya. Beliau menghormati tarikh akhir yang diberi. Tidak pernah lambat. Beliau juga bekas Penyelidik Pemasaran seperti Anna yang faham keperluan industri yang sentiasa mahu hasil tugasan dalam tempoh yang singkat.

Topik kali ini juga agak menarik iaitu tentang gaya kehidupan masyarakat Malaysia yang bekerja sendiri. Seronok mendapat ilmu di samping mendapat pendapatan sampingan dari hasil mentranskripsi. 

18 August 2015

Masa yang cemburu...

Masa benar-benar mencemburui Anna. Tidak sempat menjengah, apalagi mencatat di ruang ini. 

Sudah lima bulan menyisihkan blog ini. Sepanjang tempoh tersebut, banyak tugasan yang disiapkan. Tugasan dan tanggungjawab Anna tidak terbatas kepada kerja-kerja transkripsi. Dengan cuaca ekonomi negara yang suram, industri penyelidikan pasaran turut tidak semeriah dahulu. Tugasan yang Anna perolehi semenjak penghujung 2014 dan 2015 adalah dari klien antarabangsa yang beroperasi di ibu kota dan memperolehi projek dari luar negeri sahaja. Anna diberi tugasan mentranskripsi suara berbahasa Brunei, bangsa Filipina berbahasa Inggeris dan beberapa etnik luar dari Malaysia. Walaupun agak sukar, tugasan Anna diterima tanpa sebarang rungutan.

Akhir-akhir ini juga, projek Anna menjangkau tugasan audit Khidmat Pelanggan, F&B dan peruncitan. Skil analisis yang diperolehi sewaktu menyediakan transkripsi audio klien membantu tugasan audit. Audit yang Anna jalankan lebih kepada audit kualitatif atau dalam bahasa pemasaran, petugas seperti Anna disebut "Mystery Checker" atau "Mystery Shopper".

Ilmu tidak pernah rugi. Dalam kekurangan tugasan transkrip, ilmu dan pengetahuan yang lain menyokong pencarian rezki. Yang penting, usaha dan terus berusaha. Jangan pernah berasa putus asa. 


17 March 2015

Pencapaian Anna

Akhirnya..... Anna dapat menjejak jumlah tugasan yang Anna telah sumbangkan kepada industri penyelidikan pasaran dan lain-lain yang berkaitan dengan penyelidikan. 

Jumlah yang direkodkan dalam catatan jurnal ialah 136 kerja transkrip dan note taking. Jumlah ini adalah jumlah yang direkodkan, yang tidak direkodkan sebelum ini, Anna tidak pasti kerana di awal penglibatan Anna dalam bidang ini, Anna mentranskrip secara part-time di hujung minggu. Jadi, waktu itu, perekodan tidak diutamakan. Apabila Anna lihat potensi skil mentranskrip sebagai punca pendapatan, barulah Anna mula merekodkan...

Dari jumlah ini, 131 transkrip disumbang untuk industri Penyelidikan Pasaran, selebihnya untuk tujuan penyelidikan akademik. 

Bagi industri Penyelidikan Pasaran, Anna telah menyiapkan transkrip untuk syarikat tempatan dan global. Topik yang ditranskrip merangkumi dari Penjenamaan, Kepenggunaan, Politik, Isu Semasa, Sosial, Leisure, Gajet, Lifestyle dan pelbagai lagi. Begitu juga bagi penyelidikan akademik yang merangkumi isu-isu semasa berkaitan perniagaan, korporat dan isu sosial.

Alhamdulillah... ini satu pencapaian Anna yang perlu hargai... skil yang tak ternilai yang Allah kurniakan beserta usaha memantapkan skil ini dari masa ke semasa. 

Harapan Anna, untuk berkongsi ilmu dan skil ini kepada mereka yang berminat tercapai... in sha Allah..


2 February 2015

Ketepatan sebutan vs ketidaktepatan sebutan

Sebagai seorang transcriptionist, pendengaran anda perlu peka. Sensitif dengan perkataan yang didengar dan menggunakan logik akal untuk memilih perkataan sebenar yang diujarkan oleh pengucap.

Baru-baru ini, Anna menerima beberapa tugasan di bawah projek yang sama. Tugasan korporat. Perbualan eksekutif dengan penemuduga yang dipanggil In-depth Interview (IDI). 

Kesemua eksekutif yang ditemuduga adalah berbangsa Cina dari Malaysia. Sebutan bahasa Inggeris mereka yang berbunyi sebutan Cina mencabar pendengaran Anna. 

Di sinilah pengalaman membantu mempercepatkan proses mentranskripsi. Tiada jalan pendek. Tiada tips untuk dikongsi. Pengalaman menggunakan logik akal dan kebiasaan penggunaan perkataan si pendengar memudahkan Anna memilih perkataan yang sesuai. Di bawah adalah contoh-contoh perkataan yang boleh disalaherti dan disebelah kanan adalah perkataan sebenarnya.

Sebutan tidak tepat / Perkataan yang ingin diujarkan

Korea / Courier
Wish / Which
True / Through
Worth / Worse
Not very well-worse / Not very well-versed
Wary / Very




26 December 2014

Temporary Work Station


Inilah stesen kerja Anna semasa berada di utara ini. Sempat juga menyiapkan empat transkrip di bawah dua projek. Lagi dua projek terpaksa ditolak kerana Anna demam dan selepas Anna sihat, laptop ini pula demam. Sebaik sahaja laptop pulih, empat tawaran diterima, tapi hanya tiga dapat disiapkan.

In sha Allah 2015 kembali ke kotaraya.

18 December 2014

Tugasan lagi... alhamdulillah..

Petang semalam menerima tugasan lagi. Walaupun tidak berada di ibukota, tugasan transkrip boleh diterima dan disiapkan di mana-mana sahaja. Asal sahaja ada akses internet, laptop dan stesen kerja yang bersesuaian, transkrip boleh dilakukan.

Anna mendapat kontrak sebagai trainer consultant di utara tanahair. Anna bekerja 5 hari seminggu. Hari tidak bekerja dan masa-masa terluang masih boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan transkrip. Audio dihantar melalui online dari website tertentu. Bagi klien kali ini, mereka selesa menggunakan WeTransfer.com sebagai platform pengantara video. Apa yang Anna perlu buat, memuaturun ke fail Anna. 

Tulisan ini ditulis sambil menunggu audio dimuaturun. Akses internet di bilik sewa terlalu rendah. Jadi, Anna terpaksa bangun pukul 4.30 pagi untuk tujuan memuaturun audio. Baru sebentar tadi download hanya separuh jalan.... operation break... harap kali ini muaturun untuk 4 jam audio berjaya. 

11 August 2014

Apa yang penting?

Untuk entri kali ini, Anna nak berkisah pengalaman Anna merekrut beberapa orang kenalan untuk membantu. 

Adakalanya, tawaran untuk kerja-kerja transkripsi datang lebih dari kemampuan. Anna pernah diberi 5-6 audio sekaligus untuk disiapkan dalam tempoh kurang seminggu. Ada ketikanya, Anna menerima tawaran tugasan dari beberapa klien secara serentak.

Di saat seperti ini, adakalanya Anna tak mampu menolak tawaran kerana mereka sangat berharap Anna dapat membantu mereka.

Rangkaian hubungan dan kenalan penting untuk meminta bantuan. Kebiasaannya, Anna akan memberi tunjukajar di dalam talian. Anna bertindak sebagai mentor sahaja. Cara dan gaya menghasilkan transkrip terpulang kepada protege. 

Yang selalu Anna pesan kepada mereka yang membantu Anna, 
"Please write everything that you hear and listen. Every words count"

Disebabkan Anna banyak mentranskrip untuk tujuan penyelidikan, sememangnya setiap kata dan ekspresi di dalam video atau audio yang diberikan mungkin membawa maksud untuk diinterpretasi oleh penyelidik. 

Sebagai seorang transcriber, tugas kita ialah memindahkan setiap apa yang didengar ke bentuk tulisan. Bukannya menjadi pengadil untuk mengatakan apa yang diperkatakan/dibualkan hanya sia-sia dan tiada makna.

Sebagai contoh;
Di dalam audio perbincangan tentang perbankan dan kewangan di kalangan orang awam; moderator berkata, "kenapa muka awak berkerut?". Seorang transcriber yang baik tidak mempersoalkan sebaliknya hanya merekodkan. 

Untuk pengetahuan anda, maksud berkerut sangat signifikan dalam qualitative research. Berkerut mungkin susah hati, mungkin seram, mungkin takut, - dikaitkan dengan hutang yang melambak2 di bank. Ini bermaksud, persepsi orang awam terhadap bank ialah tempat boleh dapat duit tapi hati jadi susah. 

Muka berkerut adalah point penting untuk bank memikirkan/mencari jalan agar produk/servis yang ditawarkan "friendly to the public"

Jika seorang transcriber tidak menulis/merekodkan hal-hal sebegini, transkrip tidak ada nilai. 

7 February 2014

Cempera, potong kaki, retis

Semasa menyiapkan transkrip bagi projek yang lalu, Anna mendapat perbincangan di luar Lembah Klang. Perbincangan di luar Lembah Klang bermaksud panel perbincangan adalah penduduk tempatan daerah tersebut. Anna mendapat audio Pulau Pinang dan Pahang.

Istilah Penang yang sudah lama Anna tak dengar diucapkan oleh beberapa panel - cempera. Merujuk kamus Dewan edisi ke-4, cempera = bercempera berpecah belah ke sana sini, bertempiaran, bercerai-berai: orang-orang berjudi itu pun ~ lari; mereka akan lari ~ setelah mendapat bahagian masing-masing. 
Memandangkan moderator bertanya kepada panel maksud cempera dan ada penjelasan lisan, Anna tidak perlu menambah apa-apa untuk rujukan penganalisa.

Ada juga istilah yang menjadi trend dan sindiran dalam bergurau sambil mengingatkan orang lain - Potong kaki. Dari pengamatan deria pendengaran Anna, moderator tidak memahami maksud istilah ini. Bagi Anna, walaupun tidak tinggal di Penang, ada penduduk di kawasan tempat kelahiran Anna menggunakan istilah ini. Maksudnya, terlalu manis sehingga berkemungkinan mendapat diebetes tahap kritikal sehingga boleh menyebabkan kaki dipotong. 

Menyedari yang istilah ini hanya muncul sekali lagi selepas lebih 30 minit perbincangan, Anna meletakkan dalam kurungan bagi maksud potong kaki...  Potong kaki (terlalu manis)

Di Pahang, panel wanita menyebut perkataan retis merujuk kepada artis. Ini adalah ejaan yang ada ditulis dan diucapkan di laman sosial. Anna menulis maksud... retis (artis)

Ini semua bukanlah sesuatu yang wajib ditulis. Sebagai seorang transcriber yang mempunyai pengalaman penyelidikan kualitatif, Anna tahu keperluan penganalisa. Pada pandangan Anna, tanggungjawab sebagai transcriber adalah memudahkan penyelidik menganalisis setiap maklumat diperolehi. Oleh itu, menulis makna yang mungkin tidak difahami oleh penyelidik adalah sebahagian tanggungjawab memudahkan kerja-kerja penganalisaan.

3 February 2014

Transkripsi terakhir Januari

30 Januari 2014. Menerima audio terakhir bagi bulan Januari 2014. Audio kali ini dihantar tepat pada masa. Dimuaturun tanpa sebarang kesulitan. Ditranskrip dengan tenang.

Kerja transkripsi kali ini mudah bagi Anna atas beberapa sebab.

Sebab 1: sudah mengetahui dan faham objektif dan tujuan perbincangan kerana ini adalah audio yang ke-3 dari projek yang sama

Sebab 2: moderator pengendali yang sangat saya kenali dan senang ditranskripsi. Moderator Lyn adalah suara moderator pertama yang saya transkrip 7 tahun lalu. Dari penggunaan audio yang tidak jelas sehingga penggunaan MP3, Anna sudah biasa dengan gaya pengendalian beliau. Mudahnya Anna faham gaya dan apa yang akan disampaikan kerana mengenali beliau dan telah berkomunikasi/berbual dengan beliau. Terus-terang ingin Anna katakan, Anna 'salute' cara pengendalian perbincangan beliau yang bersahaja dan tenang. Kak Lyn memberi mood yang baik kepada panel perbincangan. Sebagai pendengar suara-suara yang tidak dikenali wajah-wajah mereka, dan seterusnya mentranskripsi, kerja Anna juga lancar dan tenang.

Sebab 3: kawan rumah saya berasal dari Pahang dan dialek Pahangnya agak pekat (di telinga Anna). Apabila menerima audio dari perbincangan di Kuantan, saya mudah faham loghat dan tidak kekok dengan pertuturan mereka.

Sebab 4: jiran balik kampung dan jiran bercuti sempena cuti tahun baru Cina. Tidak kedengaran suara anak-anak jiran menjerit dan bergaduh. Tidak kedengaran juga suara jiran memekik menyuruh anak-anaknya mandi. Tenang dan damai menyiapkan kerja.

Mengikut perancangan, transkrip siap pada pukul 6 petang, 1 Februari 2014. Tetapi ia siap 5 jam lebih awal! Alhamdulillah...

18 January 2014

Short deadlines - macam mana?

Apabila ada job yang sepatutnya Anna terima pada tarikh yang dijanjikan tetapi masalah slow server atau halangan lain di luar jangkaan, dan masa extra yang diberikan tidak dapat digunakan (kebiasaannya sebab ada job/urusan lain) - perancangan masa sangat penting.

Bagi 197minit masa rakaman audio yang perlu ditranskrip, Anna membuat anggaran masa setiap 1 jam peruntukan masa dengan masa rakaman audio. Bagi Anna, kebiasaannya, dengan kualiti audio yang baik 1 jam mentranskrip meliputi 10 minit rakaman audio. 

Untuk memudahkan pengiraan dan jangka waktu siap, Anna menyediakan papan putih untuk mencatat anggaran masa dan waktu setiap minit transkripsi disiapkan. 

Contoh catatan Anna boleh dilihat seperti foto di bawah   

8 January 2014

Januari - satu permulaan yang baik

Permulaan baik di tahun baru 2014.

Anna menerima panggilan dari syarikat yang senang berurusan. Pejabat mereka yang terletak 20 minit dari rumah saya sering dikunjungi untuk tugasan lain. Tetapi tugasan transkripsi tetap keutamaan dan ditunggu-tunggu. Kadang-kadang terasa rindu jika lama tidak mendengar perbualan/perbincangan tentang sesuatu isu.

Selain mentranskrip, ilmu percuma diperolehi. Jika perbincangan tentang kopi, hal-hal yang tidak pernah didengar tentang kopi turut diperolehi. Yang paling menarik, satu ketika dulu saya pernah mentranskrip perbincangan tentang gadget dan telefon pintar. Anna sememangnya kurang berminat mengikuti perkembangan gadget dan teknologi. Lantaran perlu membiasakan diri dengan terma dan istilah yang digunapakai oleh panel perbincangan, Anna terpaksa mencari di google ejaan dan model serta jenama yang disebut. Secara tak langsung, saya mendapat info tentang gadget dan telefon pintar.

Untuk tugasan Januari pada 13hb - 15hb, 18hb - 21hb dan 30hb - 2 Feb, projek RTD (Ready to Drink) agak mudah bagi Anna. Anna boleh menjangka perkataan, istilah dan terma yang bakal disebut berulang kali oleh para panel. Antaranya: minum, aktif, dahaga, peluh, dengan kawan-kawan, penat, isotonik, (jenama-jenama minuman isotonik). Mungkin juga menerima info yang tidak pernah didengari. Inilah yang menarik bergelar seorang transcriber...kita menjadi lebih memahami orang lain dan lebih bersikap terbuka.

In sha Allah, tugasan ini akan disiapkan dengan sebaik-baiknya. Semoga dipermudahkanNya. 

29 October 2013

sebuah titik peralihan

Dalam entri sebelum ini, Anna ada menyebut; no pleasure but pressure. So, kenapa nak buat juga kerja tu?

Ramai di sekeliling Anna, berkerut kening tengok/dengar cara Anna bekerja. Ada yang terang-terangan bertanyakan upah yang Anna perolehi. Lumayan sangat kah sehingga setiap kali ada tugasan, sanggup duduk terperap mengadap komputer, memekakkan telinga dengan sembang-sembang yang tidak menarik seperti bercakap tentang sabun kain sehingga 2-3 jam.

Inilah kisah Anna.

2007, tiba-tiba Anna jobless. Tiada kerja. Minta kerja di sana sini. Pernah bekerja sebagai part-time data entry staff tapi tak mampu bertahan lama kerana tak tahan colleague di workstation yang sama pasang lagu yang diulang berkali-kali. Anna tak boleh concentrate. Waktu itu, lagu itu belum betul-betul popular. Rasa annoying sangat dengar suara penyanyi tu, apatah lagi apabila diulang-ulang dengar. Ini link lagunya... http://www.youtube.com/watch?v=Wsn5vPTk3dI . Akhirnya Anna berhenti kerja.

Banyak kali meminta dari adik supaya dia memberi contact no & address market research company. Adik lelaki Anna sudah 10 tahun dalam bidang ini tetapi setiap kali Anna meminta contact no & address untuk Anna memohon kerja, setiap kali itulah dia marah-marah. Katanya, kerja ini susah (dia buat fieldwork). Walaupun Anna menjelaskan yang Anna nak apply department lain, dia tetap tak pernah bagi mana-mana contact no. Anna tahu peluang kerja di market research company bukan sekadar interview orang. Sebagai bekas penuntut pemasaran, Anna tahu, bidang pemasaran penyelidikan lebih luas dari yang dia tahu (adik Anna pemilik sijil LCCI). 

Desakan kewangan menyebabkan Anna mendesak dia. Akhirnya, selepas bertahun-tahun, barulah Anna dapat satu contact no. Setelah menghubungi syarikat tersebut, Anna pergi ke sana. Malangnya, dua kali mencari pejabat tersebut tidak ketemu. Cubaan kali ketiga berjaya. Anna mengisi borang memohon untuk sebarang kerja. Tentunya, kerja part-time sahaja yang ditawarkan. 

Staff yang bertugas meneliti borang yang siap diisi. Lalu bertanya, "You boleh buat transkrip tak?". 
Anna tanya kembali, "Macam mana?"
Staff: You dengar perbualan dan salin
Anna: Saya biasa salin untuk mesyuarat
Staff: Bukan macam tu, you kena dengar dan tulis semua sekali. You nak cuba?
Anna: Boleh juga
Staff: Tapi bukan hari ini. Kita ada problem sebab orang yang kita suruh buat transkrip meringkaskan                    perbualan itu. Tak boleh macam itu
Anna: Oh!
Staff: Tapi, you nak cuba?
Anna: Boleh
Staff: Nanti kita panggil, bayarannya RM$$$ untuk 1jam. Biasanya ada 2-3 jam
Anna: Okay

Kalau dah sesak RM, apa kerja pun kita jawab boleh... lama juga baru saya dipanggil untuk mencuba. Lebih kurang 3 bulan berikutnya baru saya dihubungi dan waktu itu saya telah pun mendapat pekerjaan bertaraf kontrak dengan jawatan non-executive. Waktu itu, asalkan ada kerja walau gaji hanya RM1k. Untuk menampung kos petrol kereta (dah lah gaji murah, terpaksa bawa kereta kerana pengangkutan awam not reliable), saya korbankan hari minggu untuk membuat kerja sambilan mentranskrip.

Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian;
Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.

Sentiasa bersyukur dengan ketentuanNya.




24 October 2013

perasaan yang terpengaruh... gila bayang?

Pernah tak kita bermimpi tentang kerja yang kita buat siang tadi atau sebahagian movie yang kita tonton sebelum tidur menjadi nightmare? Jika jawapannya YA, tiada bezanya jika kita baru berjinak-jinak dengan dunia transkripsi. Walaupun kita hanya mendapat audio, tiada image yang dilihat, kebiasaannya kita membayangkan apa yang kita dengar dan menulisnya.

Walaupun Anna sudah lama mentranskrip, termimpi-mimpi topik yang didengar ada juga berlaku. Jika mata dan minda terlalu penat, tiada lagi mimpi. Bising bunyi motor berkuasa besar jiran pun tak dipeduli, suara anak-anak jiran menjerit pun tidak menjejaskan tidur.

Itu tentang tidur. Yang satu ni, lagi susah nak cope. Pada tahun-tahun awal mentranskrip, apabila buat transkrip yang perbincangan tentang minuman coklat, sepanjang tempoh menyiapkan transkrip, asyik ke dapur membancuh koko. Bincang pasal brand Milo tapi tiada Milo di dapur, koko pun okay, asalkan ada rasa yang hampir sama. Begitu juga apabila bincang tentang gaya hidup dan shopping, tetiba perasaan nak pergi shopping selepas menyiapkan transkrip sangat meluap-luap. Tapi bila dah siap, tak pergi shopping complex pun... kain baju yang ditinggalkan 3 hari hendak di basuh & of course, nak qada tidur & exercise yang tertinggal.

Yang lagi kelakar, apabila Anna dapat banyak audio untuk topik peralatan masakan. Ikut logik akal, bincang pasal gadget dapur tu... mesin itu, mesin ini... boleh ada perasaan nak makan nasi minyak, spagheti, sup, ABC dan macam-macam lagi. Terpengaruh dengan kata-kata yang didengar dari panel peserta sesi perbincangan tersebut.

Mungkin hal sebegini berlaku sebab mendengar berulang kali setiap kata-kata yang diucap. Jika audio tidak jelas atau suara di dalam audio tidak jelas, terpaksa diulang berkali-kali untuk memastikan perkataan yang diucapkan. Lebih-lebih lagi jika penutur yang didengar menggunakan loghat bahasa dalam perbincangan/temubual. Lama-lama, kita pula yang terbayang-bayang dan rasa mengidam pula... 

10 October 2013

Bahasa Rojak?

Dalam entri sulung Anna, ada Anna maklumkan kepada sesiapa yang berminat untuk menjadikan transcriber sebagai cabang rezki supaya mula belajar berfikir dengan otak berbahasa rojak.

Maaf, jika ada pakar transkrip membaca dan menyanggah.

Anna banyak menerima tugasan dari syarikat penyelidikan pemasaran antarabangsa yang rata-rata staf mereka selesa berbahasa Inggeris dan ada juga foreigner yang bertugas sebagai penganalisa dan penyelidik pemasaran, begitu juga dengan klien mereka - syarikat-syarikat konsumer antarabangsa. Penggunaan bahasa Inggeris adalah satu kemestian.

Transkrip sepatutnya menyalin apa yang didengar.

Dalam majoriti tugasan Anna, Anna terpaksa mendengar dalam Bahasa Melayu dan menaip dengan menterjemah ke Bahasa Inggeris.

Kebiasaan bagi penterjemah biasa (berdasarkan apa yang dimaklumkan oleh salah seorang instructor ITBM), mereka mentranskrip dahulu. Kemudian menterjemah. Dua kali kerja, kan? Ada masa, okay.

Tapi dalam setiap dateline yang Anna terima, dateline adalah 2-3 hari. Paling lama 72 jam untuk 2.5 - 3 jam audio perbincangan. Tak cukup masa nak buat dua kali kerja.

Shortcut - dengar dalam Bahasa Melayu dan taip dalam terjemahan Bahasa Inggeris. Itulah yang sering Anna lakukan.

Mungkin transkripsi untuk law atau medical tidak sebegitu... Anna tidak pasti sebab belum pernah berpeluang mentranskripsi audio sedemikian. Audio market research yang memang bidang pengajian Anna sudah cukup mencabar. (Anna bekas penuntut pengajian Pengurusan Pemasaran).

Bahasa rojak dalam market research industry transcription adalah perkara biasa sejak 6 tahun berkhidmat di bidang ini.