ads

Showing posts with label transcript. Show all posts
Showing posts with label transcript. Show all posts

25 February 2019

Kemahiran memberi kepuasan

Anda ada kebolehan, ada minat meningkatkan kebolehan anugerahNya. Lantas, anda guna kemahiran tersebut untuk membantu orang lain.

Kepuasan. Satisfaction. 

Itulah yang saya rasa pada diri saya. Kebolehan, bakat yang diberi digunakan sebaik-baiknya, ditingkatkan kebolehan sehingga menjadi mahir.

Apabila ada orang lain yang menyedari kemahiran kita boleh membantu mereka, mereka meminta bantuan kita. Kita bantu, in sha Allah, ada ganjarannya. 

Bagi saya, penghargaan terima kasih dari mereka yang saya bantu, sangat bermakna. Senyuman saya juga terukir apabila menyemak angka-angka RM bertambah di akaun bank saya. In sha Allah, ada pahala menanti, andai kita sentiasa ingat kerja kita bukan sekadar upah, malahan untuk membantu insan lain yang memerlukan. 

Inilah kepuasan yang saya perolehi setiap kali berjaya menyiapkan tugasan mentranskrip. Penghasilan transkrip yang sempurna, adalah kepuasan peribadi untuk diri sendiri, sebelum penghargaan dan upah yang diterima.

Dan disebabkan inilah, apabila lama tidak mentranskrip, ada rindu yang menyapa. 

Sedikit perkongsian ingatan untuk yang membaca ruang saya ini - hargailah kebolehan yang Allah kurniakan. Jika anda berminat meningkatkan kebolehan diri sehingga menjadikan anda seorang yang mahir - akan memberi kepuasan emosi dan material. 

18 February 2019

Minat perlu ada

Entri yang lepas, saya bercakap tentang kebolehan mendengar (listening). Mendengar sebagai satu kebolehan, pemberian Allah. 

Saya telah menekankan beberapa kali yang kebolehan dan kemahiran mendengar ini, menjadi kunci seseorang dapat menyiapkan transkrip dengan cepat.

Walau bagaimanapun, ada kebolehan semulajadi, seperti mampu menangkap bunyi kentut (rujuk entri sebelum ini), belum tentu anda mahir mentranskrip. 

Tahap minat dan kesungguhan untuk menguasai kemahiran mentranskrip berupaya menjadikan anda seorang transcriber yang baik.

Tetapi....  "apalah sangat kerja trancriber ini? perlukah ada kemahiran ini jika tidak menjadi transcriber?"

Jawapan saya, "betullah tu... apalah sangat, kan?"

Bagi saya yang memiliki kemahiran ini dan masih menajamkan kemahiran ini, ia adalah satu anugerah kepada saya dalam menjalani hidup seharian saya, memberi sedikit keceriaan, adakala bukan sedikit mewarnai kegembiraan hidup saya. Syukur saya rasa. Kenapa? Entri seterusnya akan saya kisahkan tentang kepuasan yang diperolehi hasil kemahiran mendengar dan mentranskrip. 

28 November 2018

Manual transcription vs software

12 November 2018 - Allah beri saya kesempatan untuk saya pelajari NVivo software. Satu pengalaman baru yang membuat saya lebih menghargai skil mentranskrip saya. 

Software ini digunakan oleh para penyelidik kajian kualitatif untuk tujuan menganalisa data dan maklumat yang diperolehi. Dalam kursus ini, saya belajar bagaimana transkrip dianalisa oleh software (perisian), tidak perlu bersusah-payah mengira dan menanda perkataan yang hendak dianalisa. Mudahnya.

Saya berpeluang bertanya tentang transkrip. Ya, memang perisian seperti NVivo mampu menukarkan percakapan audio/video kepada bentuk tulisan. Dan yang lebih hebat, mampu mencatatkan masa untuk setiap percakapan yang anda mahu direkodkan. Mencatat masa setiap ayat - huh...tak mampu saya lakukan... ambil masa yang lama untuk saya menyiapkan.

Walau bagaimanapun, mesin tetap ada hadnya. Perisian ini tak mampu menghasilkan transkrip yang baik jika pertuturan subjek dalam audio/video tidak teratur/konsisten dengan apa yang telah ditetapkan dalam perisian. 

Dalam kursus ini, saya berpelunag berkongsi pengalaman saya menyiapkan transkrip berbahasa Inggeris dengan penuturnya dari bangsa Cina Singapura kepada wakil NVivo. Respon beliau, transkrip yang dihasilkan oleh perisian berkemungkinan tidak tepat. 

Oh! Patutlah khidmat transcriptionist diperlukan. Apalagi audio/video bahasa yang tidak dapat diterjemahkan oleh perisian seperti Bahasa Melayu. 

Manual juga yang terbaik jika penutur bahasa Inggeris berbangsa Cina, Cina Singapura, Indonesia, Filipina, dan Maori. Inilah antara bahasa yang saya berpengalaman mentranskrip. 

Ada rezki jika kita menghargai kebolehan kita. Semoga Allah permudahkan urusan semua para transcriptionist. Dan semoga dibuka pintu hati klien kami untuk tidak berkira dengan bayaran khidmat kami.  


31 October 2018

Kiwi, Vape & Asap

Lebih kurang dua minggu lepas, dalam keadaan demam, dan sibuk bersiap untuk berpindah, saya sempat menyiapkan transkrip penutur bahasa Inggeris dari negara Kiwi, yang dimaklumkan oleh klien; keturunan Maori.

Berbual panjang lebar antara seorang responden dengan 2-3 orang moderator (interviewer) tentang rokok, e-cigaratte, dan vape. 

Pelbagai istilah baru saya pelajari. 

Susah ke? Ya! Susah ya amat! pada mulanya, saya fikir, saya tidak faham lenggok orang negara Kiwi. Tetapi jika tidak faham, kenapa setiap ucap si moderator boleh saya fahami? Hanya responden memberi masalah kepada saya. Percakapannya tidak jelas, bukan audio tidak jelas, suara dan tuturnya...aduh...mengingatkan saya kepada seorang kawan lelaki yang heavy smoker juga, agaknya, asap dan rokok mempengaruhi pertuturan yang sambil lewa. 

Dalam keadaan demam juga, lagilah rasa nak demam. Susah hati nak berkemas barang untuk berpindah, saya simpan ke sudut penjuru bilik. 

ALhamdulillah, seorang yang pernah kerap membantu saya dalam tugasan ini, sudi membantu saya untuk sehari. Walau sehari, impak yang diberikan cukup bermakna. Kerana memikirkan yang saya sedang demam, beliau menyiapkan bahagian yang telah saya transkrip juga. 

Apabila saya bandingkan hasil kerja saya dan beliau, ternyata hasil kerja beliau lebih difahami. Terma yang digunakan lebih nampak relevan. Walaupun saya mencari terma di Google, terma dan perkataan yang dipilih hasil penelitian telinga beliau lebih tepat. Saya percaya beliau dapat menghasilkan transkrip yang lebih baik dari saya kerana kebolehan beliau berkomunikasi dengan pelbagai bangsa di fine dine restaurant beliau dan pengalaman belajar di luar negara. Selain itu, beliau juga khabarnya seorang perokok tegar (ini dari mulut makcik bawang, saya tidak pernah pun bertentang 4 mata). Perokok juga yang lebih fahami perokok yang lain.

Disebabkan suasana negara Kiwi, budaya mereka, apalagi resam si perokok, sukar untuk saya melakukan tugasan ini. Ditambah pula dengan faktor kesihatan dan keperluan semasa. Pengalaman transkrip hampir 10 tahun bukan penentu anda mampu menghasilkan yang terbaik. Inilah pentingya pendedahan sosial dan profesional dalam kerjaya seorang transcriber/transcriptionist seperti kami. 

10 April 2018

Transkrip yang baik

Baru sahaja menerima emel daripada klien yang bertanyakan saya jika boleh membuat transkripsi Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Terus sahaja saya jawab, "Sorry, I can't do it". Saya cuma klik di pilihan jawapan yang disediakan oleh Google mail di bahagian bawah kotak reply.

Semudah itu saya menolak? Ya. Boleh sahaja saya mohon pertolongan sesiapa untuk mengalihbahasa tetapi saya tidak mahu mengambil apa-apa risiko. Biarlah rezeki itu diberi kepada orang lain. 

Jangan tamak. Itu yang selalu saya ingatkan kepada diri sendiri. Rezeki Allah pasti ada.

Sebelum ini, saya membantu memberi tunjuk ajar kepada seorang sahabat lama yang berprofesion peguam. Bagi saya, apa pun kerjaya anda, tidak lekeh membuat kerja-kerja transkrip, malahan pengalaman kerjaya anda sangat-sangat membantu untuk kerja-kerja anda di masa akan datang. Terlalu bergantung kepada staf, adakalanya mereka terlepas pandang/dengar mana-mana perkara yang signifikan.

Bagi saya, sahabat saya ini berkebolehan menghasilkan transkrip yang baik. Walau bagaimanapun, audio perbincangan dalam bidang beliau iaitu undang-undang adalah yang terbaik. Beliau telah menguasai terma perundangan, gaya, lenggok pengamal undang-undang. Dengan itu, mudah untuk dia membayangkan keadaan/mood semasa sesuatu perbincangan/perbualan/prosedur berjalan. 

Kepentingan membayangkan situasi memudahkan penggunaan tanda ayat seperti koma, noktah, dan seruan. Ini memberikan suasana 'hidup' kepada transkrip yang dihasilkan.

18 October 2017

Job Transkripsi

Baru-baru ini, saya menerima emel pertanyaan tentang tugasan transkripsi. Dalam tempoh yang sama juga, seorang kenalan baru turut berminat dan ingin tahu tentang kerja-kerja transkripsi. Dia juga bertanya soalan yang sama - bagaimana mendapatkan tugasan.

Bagi menjawab soalan kenalan baru itu, mudah sahaja. Dia sedang bekerja di dalam industri penyelidikan pemasaran. Saya katakan kepadanya, minta peluang dari majikannya untuk membuat tugasan transkripsi. 

Maklumbalas yang diterima, syarikat tempat dia bekerja hanya mengambil projek Kuantitatif, tidak mengambil projek penyelidikan Kualitatif. Projek penyelidikan kualitatif memerlukan khidmat transkripsi. Sebelum saya memberikan tips untuk mendapatkan tuagsan/job, anda perlu tahu perbezaan penyelidikan Kuantitatif dan Kualitatif itu sendiri.

Apa beza Kuantitatif dan Kualitatif? 

Kuantitatif ialah penyelidikan berasaskan nombor dan pengiraan. Contoh penyelidikan kuantitatif ialah soalan survey yang meminta responden menjawab dalam bentuk rating scale - 1 - 5 di mana 1 untuk tidak setuju sehingga 5 untuk sangat setuju. Hasil jawapan responden di kumpul, dikira dan dianalisis. Sebagai contoh, ramai responden memilih skala 3 untuk soalan satu. Penyelidik akan menganalisa kenapa ramai memilih rating 3 untuk soalan satu itu.

Kualitatif pula, tiada nombor dan pengiraan. Semuanya berasaskan tulisan dan perkataan serta pemerhatian (termasuk emosi dan bahasa badan). Bagi tujuan penyelidikan kualitatif, responden dijemput untuk berbual dan berbincang isu yang menjadi topik penyelidikan. Seorang penyelidik mungkin berbual dengan seorang responden - ini dipanggil in-depth interview. Seorang penyelidik mungkin berbual dengan 6 atau 7 orang responden - ini dipanggil Focus Group Discussion. Setiap perbualan dirakamkan. Rakaman audio perbualan itu diserahkan kepada Transcriber untuk ditranskripsi iaitu menukarkannya kepada bentuk tulisan dalam format skrip. Hasil transkripsi diserahkan kembali kepada penyelidik untuk tujuan analisa.

Setelah faham perbezaan ini, saya percaya, kenalan baru saya ini dapat mencari syarikat penyelidikan pemasaran yang sesuai untuk mendapatkan tugasan transkripsi.

Bagi individu yang bertanya kepada saya tempoh hari, anda boleh cuba mendapatkan tugasan dengan bertanya pensyarah anda sekiranya ada mana-mana pensyarah atau penuntut PhD yang memerlukan khidmat anda untuk mentranskripsi. Setelah anda yakin yang anda mampu menyiapkan tugasan transkripsi dengan cepat, anda boleh mula mencari syarikat penyelidikan pemasaran. Perkenalkan diri anda dan tawarkan servis anda! 

Beranikan diri! Jangan biarkan keraguan membantutkan usaha anda! Selamat berjaya!

6 June 2017

Berbahasa lenggok Seberang

Sudah lama tidak menulis di sini. Sudah lama juga tidak menerima tugasan transkripsi. Kerap menolak. Kali ini, saya menerima satu tugasan yang dimaklumkan berdurasi 2 jam. Walau bagaimanapun, hanya 95 minit. Alhamdulillah. Tidak menuntut masa yang panjang untuk melunaskannya.

Anna tidak dimaklumkan oleh klien yang transkripsi dalam bahasa Inggeris dari negara jiran. 

Mula-mula mendengar audio, Anna tertanya-tanya, "kenapa satu suara sahaja?" dan seolah-olah bercakap dengan si bisu atau pekak. Kemudian baru Anna teringat, mungkin ini suara penterjemah/interpreter. Anna bertanya kepada pihak klien untuk kepastian. Ya, suara si penterjemah/interpreter. 

Anna perlu teliti untuk membezakan yang mana satu pandangan responden dan yang mana satu pertanyaan atau penyataan dari pihak moderator. Anna dengar betul-betul rentak intonasi suara Saudara interpreter. Adakalanya penterjemah tidak sempat menghabiskan kata-katanya. Disambung pula dengan ucapan lain. Perlu bijak untuk menulis dengan penggunaan tanda koma, titik bertindih, atau noktah.

Disebabkan terlalu pantas untuk menginterpretasi, sebutannya ada yang lari. Berikut antara perkataan yang Anna kongsikan. (Interpreter ialah seorang yang berbahasa Indonesia). 

Perkataan di sebelah kiri ialah perkataan yang ingin diungkapkan dan yang di sebelah kanan ialah perkataan yang diucapkan oleh interpreter.

Paper - Pepper/papier

Milk - Male

Milk - Mole

Label - Labour

Seal - Sea

Hole - Hold

Hole - Hall

Cashier - Casheer


Peranan interpreter adalah untuk memberi sebutan yang terbaik agar ayat jadi bermakna dan input penting tidak disalah rekod dan menimbulkan salaherti. Ini boleh membawa kepada kesilapan dalam proses menganalisa maklumat dan pembuatan keputusan pihak klien. 

Nampak kecil, impaknya besar. 

Kesimpulannya: Sumbangan belakang tabir tidak harus dipandang remeh oleh semua pihak. Penghargaan dengan bayaran yang berpatutan perlu menjadi keutamaan dalam menjamin kualiti penyelidikan itu sendiri. 


22 November 2016

Tunggu dulu...

Tidak menerima sebarang projek transkripsi lantaran sibuk dengan urusan lain yang mesti diutamakan. 

Suka atau tak suka, terpaksa menolak.. baru tadi menerima emel untuk audio English ke English di Indonesia. Sudah pasti menuntut tumpuan yang tinggi. Mendengar lenggok lidah bangsa Indonesia berbahasa Inggeris. Sudah pasti mencabar. Walaupun saya suka cabaran itu, masa tidak mengizinkan saya untuk menerima tawaran tugasan ini.

Sabar lah hati...

uhmm tunggu dulu...tahun depan mungkin agak senggang.

26 October 2016

Caj dan servis; kata dua

"Do you want me to do or not? Let me know before I proceed"

Tegas. 

Masih dengan staf yang saya berurusan sebelum ini.

Kenapa saya bertanya begitu? Kerana staf tersebut bertanya caj yang saya kenakan. Saya maklumkan caj yang biasa (per minit) saya kenakan kepada syarikat tersebut.

Dalam balasan emel nya, " Your charge is too high from our cost which 1 hour translation: RM120 and 1 hour transcript: RM100"

Perlukah saya akur kepada caj ini? Saya balas, "All this while, this is my charge to your company"

Hak saya untuk meletakkan jumlah yang saya fikir masuk dek akal.

Caj yang disebut oleh beliau ialah caj yang saya dinasihatkan diletakkan di dalam invois ketika syarikat tersebut baru beroperasi di Malaysia pada 2012. Empat tahun sudah berlalu. Saya pasti, pihak syarikat sendiri mengenakan caj yang lebih tinggi kepada klien mereka. Adakah wajar meminta caj dari kontraktor anda dengan harga yang statik di saat anda masih merangkak di Asia Tenggara dengan staf kurang dari 20 orang?

Saya tidak menurunkan caj saya. Kerja saya ada nilai. Saya juga memikirkan nasib transcriber lain yang terpaksa akur dengan caj lama yang tidak berpatutan sedangkan dateline tugasan dalam industri penyelidikan pemasaran sangat pendek. 

Saya berharap kepada yang tercari-cari caj yang hendak dikenakan kepada bakal pelanggan anda, mendapat sedikit idea dalam entri ini.

25 October 2016

JUJUR itu yang terbaik

Baru-baru ini berpeluang membantu seorang staf dari syarikat yang sama. Walaupun syarikat yang sama, jenis projek agak berbeza dari Senior Manager yang saya biasa berurusan.

Sebelum ini, sudah beberapa kali staf ini approach saya untuk bantuan transkripsi tetapi masa sering tidak sesuai dan beliau juga sering approach saya apabila situasi terdesak (e.g. transcriber yang dipersetujui pada awalnya - tidak dapat mengotakan janji, transkripsi tidak sempurna dan perlu diperbaiki)

Awal Muharram yang lalu, saya dapat membantu beliau untuk audio perbincangan bagi responden-responden di tanah Singa. Perbincangan lebih kepada food and lifestyle. Moderator pula, berdasarkan sebutan lidahnya; saya agak berbangsa Filipina.

Satu cabaran yang perlu dilunaskan... mendengar lifetyle rakyat seberang Tambak yang sebelum ini saya tidak pusing untuk ambil tahu sambil mendengar pilihan perkataan dan telor lidah  rakyat dua negara. Ditambah pula dengan staf yang tidak biasa berinteraksi - kebiasaannya, guideline diberi untuk membantu proses perbincangan dan transkripsi. Saya pula terpaksa meminta dengan staf ini. 

Tidak yakin, boleh menyiapkan dalam tempoh yang diberikan, i.e. lebih 2 jam audio perbincangan dalam tempoh 3 hari, saya memaklumkan kepada staf tersebut. 

Amat-amat penting untuk memaklumkan situasi kita sekiranya kita menjangkakan berlaku kelewatan menepati tarikh akhir yang diberikan. Bukan tujuan untuk menunjukkan kelemahan kita. Bersikap jujur itu yang terbaik.

Alhamdulillah. Ia berjaya disiapkan dalam tempoh yang diberi. 

Mungkin berasa senang dengan saya, projek seterusnya juga ditawarkan kepada saya. Alhamdulillah, rezki itu ketentuan Allah.

22 January 2016

Tugasan lagi...

Sudah agak lama menolak tugasan dari klien, lantaran tugas-tugas di pejabat (Jabatan Latihan dan Pentadbiran) yang banyak, ditambah dengan tugasan di kelas.

Klien yang sudah biasa masih mencari dan menghubungi sekiranya Anna dapat memberikan khidmat transkripsi kepada mereka.

Kali ini, 6 audio dijanjikan diberikan kepada Anna. Semua audio temubual untuk projek ini diserahkan kepada Anna. Itu cara Pengurus Penyelidikan ini bekerja. 

Faham dengan cara beliau, tarikh akhir ialah 2 hari dari tempoh menerima audio. Audio baru dihantar setelah transkripsi audio sebelumnya selesai dan dihantar. Alhamdulillah. 2 telah siap. Malam ini atau pagi esok, 1 lagi audio akan diterima.

Disebabkan ada hal lain yang perlu diberi tumpuan, audio kedua Anna serahkan kepada seorang kenalan transcriber yang pernah Anna baca hasil kerjanya. Beliaulah satu-satunya transcriber profesional yang Anna senang bekerja dengannya. Beliau menghormati tarikh akhir yang diberi. Tidak pernah lambat. Beliau juga bekas Penyelidik Pemasaran seperti Anna yang faham keperluan industri yang sentiasa mahu hasil tugasan dalam tempoh yang singkat.

Topik kali ini juga agak menarik iaitu tentang gaya kehidupan masyarakat Malaysia yang bekerja sendiri. Seronok mendapat ilmu di samping mendapat pendapatan sampingan dari hasil mentranskripsi. 

19 September 2015

Tugasan yang jadi tak jadi?

Blog ini jarang terima pelawat. Pelawat yang datang bertandang, Anna tahu, mereka pada asalnya menggunakan enjin carian. Akhirnya bertemu dengan blog Anna dan majoriti sememangnya mencari penulis transkrip seperti Anna.

Emel yang diterima dan panggilan telefon ada juga Anna terima bertanyakan caj servis. Setelah dimaklumkan, tiada lagi khabar berita daripada mereka.

Maaf. Anna tidak mampu untuk mengenakan caj yang terlalu murah. Bagi Anna, apa yang Anna caj sudah cukup di bawah sederhana.

Mata bersengkang, malam sehingga awal pagi bekerja, duduk dalam jangkamasa lama sehingga adakalanya sakit belakang, telinga terngiang-ngiang walau sudah tidak mendengar audio rakaman, tangan menaip setiap huruf dan memastikan tiada ejaan tertinggal atau tersalah taip. Keesokan harinya, ke pejabat atau ke kelas seperti orang yang suku khayal (suku sahaja, tidak sampai separuh). 

Inilah harga yang anda bayar untuk servis Anna. 

Bagi penuntut PhD, Anna sarankan buatlah transkripsi sendiri kerana dengan membuat transkripsi sendiri, bukan sahaja kos anda tidak bertambah, sambil mentranskripsi, anda juga menganalisa temubual untuk tujuan penyelidikan anda sendiri. Masa anda juga dapat dijimatkan!

17 March 2015

Pencapaian Anna

Akhirnya..... Anna dapat menjejak jumlah tugasan yang Anna telah sumbangkan kepada industri penyelidikan pasaran dan lain-lain yang berkaitan dengan penyelidikan. 

Jumlah yang direkodkan dalam catatan jurnal ialah 136 kerja transkrip dan note taking. Jumlah ini adalah jumlah yang direkodkan, yang tidak direkodkan sebelum ini, Anna tidak pasti kerana di awal penglibatan Anna dalam bidang ini, Anna mentranskrip secara part-time di hujung minggu. Jadi, waktu itu, perekodan tidak diutamakan. Apabila Anna lihat potensi skil mentranskrip sebagai punca pendapatan, barulah Anna mula merekodkan...

Dari jumlah ini, 131 transkrip disumbang untuk industri Penyelidikan Pasaran, selebihnya untuk tujuan penyelidikan akademik. 

Bagi industri Penyelidikan Pasaran, Anna telah menyiapkan transkrip untuk syarikat tempatan dan global. Topik yang ditranskrip merangkumi dari Penjenamaan, Kepenggunaan, Politik, Isu Semasa, Sosial, Leisure, Gajet, Lifestyle dan pelbagai lagi. Begitu juga bagi penyelidikan akademik yang merangkumi isu-isu semasa berkaitan perniagaan, korporat dan isu sosial.

Alhamdulillah... ini satu pencapaian Anna yang perlu hargai... skil yang tak ternilai yang Allah kurniakan beserta usaha memantapkan skil ini dari masa ke semasa. 

Harapan Anna, untuk berkongsi ilmu dan skil ini kepada mereka yang berminat tercapai... in sha Allah..


3 February 2015

Sama bunyi, lain makna

Dalam entri yang lepas, Anna menyediakan beberapa contoh sebutan tidak tepat yang menyukarkan kerja-kerja transkripsi. Berikut pula ialah contoh beberapa perkataan yang sama bunyi tetapi berlainan ejaan dan berlainan maksud juga.

Guess / Guest

Ads /Adds

Feet / Feed

Foresee/for see

It's / Its

Worst / Worse / Worth

Inside / Insights

Allow us / Allowance

Helpers / Help us


Sekali lagi, pengalaman penggunaan bahasa secara bertulis, lisan dan mendengar membantu kerja-kerja transkripsi.


2 February 2015

Ketepatan sebutan vs ketidaktepatan sebutan

Sebagai seorang transcriptionist, pendengaran anda perlu peka. Sensitif dengan perkataan yang didengar dan menggunakan logik akal untuk memilih perkataan sebenar yang diujarkan oleh pengucap.

Baru-baru ini, Anna menerima beberapa tugasan di bawah projek yang sama. Tugasan korporat. Perbualan eksekutif dengan penemuduga yang dipanggil In-depth Interview (IDI). 

Kesemua eksekutif yang ditemuduga adalah berbangsa Cina dari Malaysia. Sebutan bahasa Inggeris mereka yang berbunyi sebutan Cina mencabar pendengaran Anna. 

Di sinilah pengalaman membantu mempercepatkan proses mentranskripsi. Tiada jalan pendek. Tiada tips untuk dikongsi. Pengalaman menggunakan logik akal dan kebiasaan penggunaan perkataan si pendengar memudahkan Anna memilih perkataan yang sesuai. Di bawah adalah contoh-contoh perkataan yang boleh disalaherti dan disebelah kanan adalah perkataan sebenarnya.

Sebutan tidak tepat / Perkataan yang ingin diujarkan

Korea / Courier
Wish / Which
True / Through
Worth / Worse
Not very well-worse / Not very well-versed
Wary / Very




22 January 2015

Kembali ke Ibukota

Ya, sudah masuk minggu kedua Anna di ibukota. Baru berkesempatan kemaskini blog. 

Tugasan transkrip sudah mula diterima. Memandangkan sudah lama tidak menerima tugasan, dan melaksanakan tugasan di KL, sedikit kekok untuk menyesuaikan diri dengan keadaan lama.

Sepanjang menerima beberapa tugasan di utara tanahair, saya tidak perlu menggunakan headphone atau speaker tambahan. Bilik yang Anna sewa adalah bilik tengah. Bilik ketiga dari lima bilik. Oleh itu, suasana bising dari tingkap depan dan belakang kurang jelas kedengaran. Sekali-sekala bunyi jentera kenderaan berat kedengaran. (Kawasan yang didiami berdekatan dengan perumahan yang sedang dibangunkan).

Anna menghadapi sakit kepala yang teramat sangat kerana menggunakan headphone untuk jangkamasa yang agak lama. Kebiasaannya, Anna menggunakan speaker. Sakit kepala berulang dua kali. Hanya ubat penahan sakit diambil dan berehat secukupnya. Selepas bangun dari tidur, barulah berasa lega dan cuba menenangkan diri. 

Alhamdulillah, mujur sahaja turnaround time untuk 138 minit perbincangan yang diterima kali ini ialah 72jam. Sempat juga Anna menghadiri mesyuarat untuk projek lain. 

Baru Anna sedari yang Anna tidak mengamalkan cara kebiasaan pemakanan dan gaya hidup yang bersesuaian dengan kerja transkripsi di KL. Sejak malam tadi, Anna kembali mengambil buah-buahan dan minum air secukupnya. Hari ini Anna mengurangkan pengambilan karbohidrat dan makanan berminyak. Kopi Radix dan teh Rooibos diambil secara bergilir. 

Mohon dengan izinNya, transkrip akan siap pada pukul 5 petang ini.


18 December 2014

Tugasan lagi... alhamdulillah..

Petang semalam menerima tugasan lagi. Walaupun tidak berada di ibukota, tugasan transkrip boleh diterima dan disiapkan di mana-mana sahaja. Asal sahaja ada akses internet, laptop dan stesen kerja yang bersesuaian, transkrip boleh dilakukan.

Anna mendapat kontrak sebagai trainer consultant di utara tanahair. Anna bekerja 5 hari seminggu. Hari tidak bekerja dan masa-masa terluang masih boleh digunakan untuk menyiapkan tugasan transkrip. Audio dihantar melalui online dari website tertentu. Bagi klien kali ini, mereka selesa menggunakan WeTransfer.com sebagai platform pengantara video. Apa yang Anna perlu buat, memuaturun ke fail Anna. 

Tulisan ini ditulis sambil menunggu audio dimuaturun. Akses internet di bilik sewa terlalu rendah. Jadi, Anna terpaksa bangun pukul 4.30 pagi untuk tujuan memuaturun audio. Baru sebentar tadi download hanya separuh jalan.... operation break... harap kali ini muaturun untuk 4 jam audio berjaya. 

11 August 2014

Apa yang penting?

Untuk entri kali ini, Anna nak berkisah pengalaman Anna merekrut beberapa orang kenalan untuk membantu. 

Adakalanya, tawaran untuk kerja-kerja transkripsi datang lebih dari kemampuan. Anna pernah diberi 5-6 audio sekaligus untuk disiapkan dalam tempoh kurang seminggu. Ada ketikanya, Anna menerima tawaran tugasan dari beberapa klien secara serentak.

Di saat seperti ini, adakalanya Anna tak mampu menolak tawaran kerana mereka sangat berharap Anna dapat membantu mereka.

Rangkaian hubungan dan kenalan penting untuk meminta bantuan. Kebiasaannya, Anna akan memberi tunjukajar di dalam talian. Anna bertindak sebagai mentor sahaja. Cara dan gaya menghasilkan transkrip terpulang kepada protege. 

Yang selalu Anna pesan kepada mereka yang membantu Anna, 
"Please write everything that you hear and listen. Every words count"

Disebabkan Anna banyak mentranskrip untuk tujuan penyelidikan, sememangnya setiap kata dan ekspresi di dalam video atau audio yang diberikan mungkin membawa maksud untuk diinterpretasi oleh penyelidik. 

Sebagai seorang transcriber, tugas kita ialah memindahkan setiap apa yang didengar ke bentuk tulisan. Bukannya menjadi pengadil untuk mengatakan apa yang diperkatakan/dibualkan hanya sia-sia dan tiada makna.

Sebagai contoh;
Di dalam audio perbincangan tentang perbankan dan kewangan di kalangan orang awam; moderator berkata, "kenapa muka awak berkerut?". Seorang transcriber yang baik tidak mempersoalkan sebaliknya hanya merekodkan. 

Untuk pengetahuan anda, maksud berkerut sangat signifikan dalam qualitative research. Berkerut mungkin susah hati, mungkin seram, mungkin takut, - dikaitkan dengan hutang yang melambak2 di bank. Ini bermaksud, persepsi orang awam terhadap bank ialah tempat boleh dapat duit tapi hati jadi susah. 

Muka berkerut adalah point penting untuk bank memikirkan/mencari jalan agar produk/servis yang ditawarkan "friendly to the public"

Jika seorang transcriber tidak menulis/merekodkan hal-hal sebegini, transkrip tidak ada nilai. 

9 March 2014

Bukan sambil-sambilan

Siapa kata kerja transcriber, note taker dan penterjemah suatu kerja yang boleh dibuat secara sambilan? Sambilan yang Anna maksudkan di sini bukanlah part-time atau disebut kerja sampingan. Sambilan di sini ialah melakukan sesuatu kerja sambil melakukan tugasan lain.

Seorang penyambut tetamu di sebuah syarikat bersaiz sederhana atau bersaiz kecil boleh melipat surat dan memo sambil menunggu panggilan telefon atau melayan tetamu yang berkunjung di syarikat.

Seorang eksekutif pentadbiran dan kewangan yang sedang menyiapkan laporan boleh menerima panggilan dan berjumpa pembekal dalam masa yang sama. 

Ya, mungkin kerja agak terganggu tetapi konsentrasi dan daya tumpuan tugasan transkripsi jauh lebih tinggi berbanding mereka yang bekerja dalam bidang yang seakan-akan nampak hampir sama dengan seorang transcriber. 

Seorang transcriber berasa terganggu ketika sedang memberi tumpuan kepada tugasan, telefon berdering dan terpaksa menjawab panggilan tersebut. Sebab itulah ada di kalangan mereka yang terlibat di dalam bidang ini lebih senang meletakkan telefon mereka di tempat yang jauh dari stesen kerja atau memadamkan talian telefon (sekiranya tarikh akhir kerja transkripsi sangat mendesak).

Dan atas sebab inilah, ramai majikan lebih suka mendapatkan khidmat luar agar pekerja syarikat dapat menjalankan kerja-kerja lain dalam masa yang sama dan masa tidak dihabiskan dengan mentranskripsi sahaja. Seseorang pekerja yang jarang menghasilkan transkrip akan menghabiskan waktu yang banyak untuk mentranskrip. Ini menyebabkan pekerja tersebut tidak efisien dalam tugasan lain. 

Lainlah jika syarikat tersebut sememangnya menyediakan servis mentranskrip dan menggaji transcriber untuk tujuan khas iaitu mentranskrip.  

Menghasilkan transkrip nampak mudah, mendapatkan tumpuan pancaindera pendengaran dan minda tidak mudah.

13 February 2014

Patience & Passion

Merujuk kamus Melayu Inggeris Dewan;

Patience membawa maksud kesabaran.

Passion pula membawa beberapa maksud iaitu ghairah dan yang paling hampir dengan perbincangan Anna di laman ini ialah strongly felt emotion. Contoh ayat yang diberi ialah he writes with passion about the war = dia menulis dengan penuh perasaan tentang peperangan itu.

Kedua-dua perkataan ini, apabila diucapkan - ada persamaan bunyi (fonetik). Kita boleh mengetahui perkataan mana yang tepat setelah mendengar ayat keseluruhan. Dari segi fonetik, ada satu lagi perkataan yang berbunyi sama tetapi membawa maksud berbeza - patient = pesakit, patient juga membawa maksud sabar.

Perkataan-perkataan seperti ini memerlukan kemahiran mendengar dan pengetahuan am yang luas di kalangan transcriber. 

Tersalah menulis/mengeja, maksud ayat salah ditafsir. Kesannya, tafsiran dan analisa ayat yang salah boleh mengundang kepada pembuatan keputusan yang tidak tepat. Pembuat keputusan mungkin mengimplimentasi penyelesaian yang tidak memberikan penyelesaian terbaik.

Oleh itu, ingatan Anna untuk para transcriber dan mereka yang berminat menceburi bidang ini, tanggungjawab anda bukan sekadar menyalin apa yang didengar dan dilihat. Salin dengan ilmu. Pengetahuan am mesti dipertingkatkan dari masa ke semasa.